SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan LS5 | Kuala Lumpur City FC vs Selangor FC | Fokus Pada Cabaran Yang Menanti

Jul 14, 2024 - FAS

Derbi Lembah Klang pertama musim ini bagi saingan Liga Super 2024/25 menyaksikan skuad Selangor FC berkunjung ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi menentang seteru Kuala Lumpur City FC (KLC) pada jam 8:15 malam ini.

Ini merupakan pertemuan ke-89 di antara #KLCSFC. Gergasi Merah telah memenangi 53 perlawanan dan 18 seri. Selain itu, 165 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini. 

Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, menyatakan pasukan bersedia dan mahu terus berada di kedudukan terbaik Liga.

“KL City merupakan sebuah pasukan yang sangat tersusun. Mereka juga mempunyai beberapa pemain yang mampu mengubah perlawanan di saat-saat yang getir. Saya tidak mahu fikir tentang perkara yang terjadi di belakang tentang pasukan mereka kerana secara keseluruhan mereka mempunyai barisan pemain yang boleh mendatangkan bahaya. Segala keputusan adalah apabila perlawanan berlangsung di padang nanti.

"Untuk ‘Derbi Lembah Klang’ ini saya lihat para pemain berada dalam motivasi tinggi dan bersedia untuk meneruskan perjuangan pada malam ini. Bagi saya, kita tetap dengan pegangan untuk berada di kedudukan terbaik dalam liga,” tegas Nidzam Jamil.

Bagi keberadaan pemain, Alexander Agyarkwa tidak dapat diturunkan kerana mengalami penggantungan daripada kad merah pada perlawanan #LS4 menentang Perak FC. Selain itu, Umarbek Eshmurodov dan Mukhairi Ajmal telah pulih daripada kecederaan dan berkemungkinan besar akan bersama pasukan pada malam ini. 

Pihak pengurusan Selangor FC yakin dengan persiapan yang pasukan lakukan bagi Derbi Lembah Klang ini. Kami mendoakan kejayaan pasukan. Ayuh, Gergasi Merah! 

Demi Kebanggaan!